Thursday, 10 November 2011

KeLuaRga: huBunGAN yG kEkAL sElAManyA

Memperbaiki Hubungan Kekeluargaan

Keluarga merupakan sumber identiti dan kekuatan kita. Orang kata kamu boleh memilih rakan tetapi bukannya keluarga. Apabila kamu sedang membesar, mungkin kamu tak suka berada di rumah. Ibu bapa mungkin menyekat pergerakan dan adik-beradik yang lain sentiasa buat kamu geram. Kadang-kadang kamu rasa keseorangan dan tidak difahami. Hidup mungkin melemaskan. Tetapi, itukan keluarga dan kamu dan jika dilihat dalam banyak sudut lain, kamu bertuah kerana mempunyai mereka. Hubungan kekeluargaan yang indah, baik belaka itu tidak terjadi secara automatik. Ia memerlukan banyak komunikasi, kerjasama dan perasaan saling menghormati di kalangan ahli keluarga. Berikut merupakan beberapa tip bagaimana untuk merapatkan hubungan kekeluargaan:
  • Cakap dan dengar. Komunikasi merupakan proses dua hala. Apabila sesorang itu bercakap, seorang yang lain mendengar dan tidak mencelah. Apabila kedua-dua pihak telah didengari, mereka boleh mula memberikan komen mengenai isu yang dibincangkan. Dalam berkomunikasi, banyak kesabaran dan hormat ditunjukkan pada individu tersebut. Ini dilakukan apabila mendengar tanpa perasaan berat sebelah atau menghakimi. Dalam sebuah keluarga, kekurangan komunikasi biasanya menyebabkan rasa marah dan salah faham. Mungkin tak mudah untuk berbicara dengan ahli keluargamu, tapi cubalah untuk melakukannya apabila terdapat kesempatan. 
  • Luangkan masa dengan keluarga kamu. Kamu mungkin sibuk di sekolah atau tempat kerja tapi meluangkan masa dengan keluarga selama sehari akan membuatkan kamu rasa lebih dekat dengan mereka. Luangkan masa dengan ibu ketika sedang memasak dan berbual dengan ayah mengenai sukan atau perniagaan semasa dia sedang menonton berita. Kamu dan adik beradik boleh meluangkan masa dengan keluar bersama. Jika kamu masih lagi bujang, luangkan masa sehari seminggu untuk kamu melakukan aktiviti bersama keluarga. Berjalan-jalan, berkelah ataupun menonton filem bersama-sama. Sekiranya kamu telah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri, rancangkan hari keluarga sekurang-kurangnya sebulan sekali agar semua orang dapat meluangkan masa berkualiti bersama-sama.
  • Menyokong satu sama lain. Ahli keluarga kita masih lagi seorang individu. Sebagai individu, mereka mempunyai impian tersendiri untuk dicapai. Mungkin ia tak sama dengan kamu, tapi cukup menyeronokkan bila mereka mengetahui yang kamu sentiasa menyokong dan mempercayai mereka. Berikan sokongan dan kata-kata semangat. Dengan sokongan kamu, ia akan menguatkan ikatan kekeluargaan. 
  • Memahami personaliti masing-masing. Dalam satu keluarga, terdapat bermacam-macam personaliti. Kita tak akan mengenali ibu bapa dan adik beradik sepenuhnya walau dah lama tinggal sebumbung. Memahami bagaimana ibu bapa dan adik beradik memberikan respons terhadap situasi tertentu boleh membantu kamu untuk berkomunikasi dengan mereka. Seorang adik mungkin lebih ceria dan mudah untuk meluahkan perasaannya manakala yang seorang lagi mungkin lebih sensitif dan gemar memendam rasa. Dengan mengetahui perkara begini, kamu akan lebih memahami ahli keluarga kamu terutamanya dalam situasi-situasi yang kritikal.
  • Jangan mudah terasa. Kamu mungkin rasa sedih bila ibu bapa menggunakan perkataan kasar terhadapmu. Kamu juga mungkin merasakan yang mereka tidak lagi sayang padamu. Jangan begitu. Sebagai ibu bapa, sudah tentu mereka mahukan hanya yang terbaik buat kamu jadi janganlah berdendam dan elakkan menyakiti hati mereka.












No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...